fb fb fb fb fb

M-FICORD serah pengurusan RGC Padawan kepada GKCDA

Majlis Penyerahan RGC Padawan oleh M-FICORD kepada GKCDA di Pejabat Daerah Kecil Padawan

KUCHING, 22 Januari- Penyerahan pengurusan Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Padawan kepada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijangka mampu mengembangkan lagi sektor ekonomi dan pertanian di daerah kecil itu ke tahap yang lebih tinggi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom memberitahu, GKCDA kini sudah mempunyai pelbagai perancangan pembangunan, antaranya pembinaan dewan serbaguna, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembukusan (CPPC), rumah ibadat, dan pasar tamu.

Katanya, ia sekali gus akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan penduduk di kawasan-kawasan berhampiran.

Datuk Seri Dr. Stephen hari ini menghadiri Majlis Penyerahan RGC Padawan oleh M-FICORD kepada GKCDA di Pejabat Daerah Kecil Padawan.

Turut hadir pada Majlis Penyerahan RGC Padawan ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merangkap Pengerusi GKCDA, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Datu Ik Pahon Joyik.

Sementara Datuk Seri Dr. Stephen turut menyatakan komitmennya untuk menjadikan Padawan sebagai Jalur Kopi (Coffee Belt) sebagai tumpuan utama kepada pembangunan industri penanaman kopi secara komersil di Sarawak, seterusnya berpotensi menjadi salah satu produk agro-pelancongan di kawasan tersebut.

Justeru, beliau menasihati penduduk sekitar kawasan Padawan agar mengambil kesempatan melalui inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh GKCDA untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

Selain daripada perkhidmatan sedia ada di RGC Padawan, iaitu Pejabat Daerah Kecil Padawan dan Klinik Kesihatan Bayur, GKCDA dijangka mengambil masa dua tahun sehingga 2025 bagi melaksanakan inisaitif pembangunan kawasan seluas enam hektar sebagai pusat sosioekonomi utama bagi komuniti setempat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE