IPOH, 4 Januari- Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Utara Perak hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kementerian atau kerajaan pusat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tanpa kelulusan kementerian, tiada sebarang perjanjian berhubung perkara itu boleh dilakukan.
Jelasnya, perkara itu bergantung kepada keberkesanan kedua jawatankuasa Perak dan Pulau Pinang untuk menyakinkan kementerian bagi meluluskan peruntukan pembinaan loji tersebut.
"Jadi, kalau kita hendak membuat perjanjian sekarang tidak boleh sebab nanti tarif harga air pun akan ditentukan oleh kementerian bukan kita.
"Jadi sebab itu kita setujulah lagi cepat dibuat lagi bagus. Tetapi bergantung kepada peruntukan kementerian", katanya di sini.
November lalu, Kerajaan Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang selepas perbincangan antara kedua-dua setiausaha kerajaan negeri berkenaan mencapai kata sepakat.