KAJANG, 20 Januari - Lorong Smart Tag dan Touch 'n Go yang pada awalnya ditutup secara berperingkat akan dibuka semula selain tambahan kaedah pembayaran melalui teknologi Radio Frequency Identification (RFID).
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan pengguna mempunyai pilihan semasa membuat pembayaran tol.
"Oleh yang demikian, 43 lorong Smart Tag akan dibuka semula secara berperingkat di 34 plaza tol bagi memberi kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.
"Pihak PLUS juga akan memastikan kelancaran trafik di plaza tol dengan menempatkan lebih banyak petugas di lorong termasuk penggunaan peranti pengesanan mudah alih bagi membantu pengguna yang mengalami masalah.
"Selain memastikan prestasi sistem RFID ditingkatkan bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol selain menambah bilangan pusat pemasangan tag RFID di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS," menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan pengguna lebuh raya mendapat maklumat yang tepat, PLUS juga akan menyebarluaskan maklumat RFID menerusi semua saluran media bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran pengguna.
"LLM ingin menasihatkan pengguna RFID di lebuhraya PLUS agar menggunakan lorong yang sama untuk masuk dan keluar. Di samping itu, pengguna juga hendaklah sentiasa memastikan baki e-wallet mencukupi bagi memastikan kelancaran trafik," tambah kenyataan itu.