BUKIT RAMBAI, 8 Ogos - Loji Pelupusan Sisa Klinikal Medivest Sdn Bhd langkah jangka panjang dalam menampung sisa klinikal yang dijangka meningkat 40 peratus, menjelang tahun 2030, di Melaka susulan pertambahan fasiliti kesihatan awam dan swasta.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, loji yang dibina dengan kos RM30 juta itu bukan sahaja dilengkapi teknologi canggih, malah menjadi saluran pemindahan teknologi melalui latihan dan pendedahan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.
Katanya, loji itu berkeupayaan melupuskan 20 tan metrik sisa klinikal sehari dengan 6,200 tan metrik sebulan.
Setakat ini katanya, loji tersebut menjadi pusat pelupusan sisa klinikal dari 23 hospital di tiga negeri selatan tanah air.
"Merupakan satu-satunya sistem pelupusan loji canggih dari teknologi Belgium yang telah terbukti memberikan hasil yang baik.
"Loji baharu ini telah berjaya melupuskan 15,389 tan metrik sisa klinikal bagi pelupusan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
"Saya melihat perkembangan baharu ini akan membantu kerajaan negeri bagi memperkukuhkan satu sistem pelupusan untuk kesejahteraan rakyat dan juga orang awam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji terbabit di sini.
Loji yang mula dibangunkan pada 2020 itu siap sepenuhnya dua tahun kemudian dan menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.