fb fb fb fb fb

LLM sambut baik diskaun tol 50% sempena Deepavali

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI yang menawarkan diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang), bersempena sambutan Hari Deepavali pada 20 Oktober ini.

Diskaun itu berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam, 18 Oktober hingga 11.59 malam, 19 Oktober ini, di semua plaza tol, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).

Menurut LLM, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya utama seawal 16 Oktober ini bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.

"Di samping itu, dijangka trafik tertinggi sebanyak 2.67 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak sempena Hari Deepavali ini. Sebanyak 2.2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS.

"Manakala, masing-masing 170,000, 90,000, 40,000, dan 170,000 kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE)," menurut kenyataan itu.

LLM turut mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya supaya membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam masa yang sama, LLM menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan dengan merujuk aplikasi MyPLUS-TTA bagi Lebuhraya Utara Selatan serta Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh AFA Prime untuk Lebuhraya KL–Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Pengguna juga diingatkan untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta menyemak baki kad Touch ‘n Go dan e-wallet agar mencukupi.

Bagi laluan yang melibatkan pengaktifan ‘smart lane’, pengguna boleh menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan, namun dinasihatkan agar mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

Penunggang motosikal pula diingatkan supaya sentiasa fokus dan berwaspada ketika menunggang, serta menggunakan 'motorcycle shelter' yang disediakan bagi berteduh ketika cuaca buruk.

Sebanyak 472 lokasi 'motorcycle shelter' telah disediakan di sepanjang lebuh raya seluruh negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM