fb fb fb fb fb

LKAN 2022, Ketua Audit Negara kemuka 261 syor

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (tengah) bersama Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Roslan Abu Bakar dan Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji / FOTO Jabatan Audit Negara

KUALA LUMPUR, 22 November- 261 syor telah dikemukan oleh Ketua Audit Negara untuk dilaksana kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang telah diaudit menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Sejumlah 16 pengauditan telah dijalankan Jabatan Audit Negara melibatkan 14 kementerian meliputi projek dan program bernilai RM208.882 bilion.

Bagi Pengurusan Program Penanaman Padi, sejumlah RM448.87 juta baki peruntukan terkumpul setakat 2022, tidak dibelanjakan.

Peruntukan tersebut disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk maksud pemberian subsidi dan insentif pesawah.

Selain itu, Fasa Satu Program Ramalan dan Amaran Banjir dari 2015 hingga 2022 melibatkan lembangan sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang disifat tidak memuaskan.

Kos melibatkan belanja sebanyak RM145 juta, kadar ketepatan ramalan banjir hanya pada 5.6%, selain tidak berupaya mengeluarkan amaran dua hari lebih awal.

Prestasi projek Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif Sekolah turut diberi tumpuan, dengan pelaksanaan melibatkan hanya 386 atau 25.6% sekolah berbanding 1,505 sekolah yang dikenal pasti.

Daripada 386 sekolah tersebut, hanya 123 atau 31.9% telah siap bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Isu UiTM Holdings Sdn Bhd, yang menerima suntikan modal RM259.98 juta tanpa kelulusan menteri kewangan, yang bercanggah dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), juga diketengahkan.

LKAN Tahun 2022 peringkat persekutuan boleh diakses di alamat tertera manakala LKAN peringkat negeri akan dimuat naik selepas pembentangan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Jabatan Audit Negara turut memperkenalkan Papan Pemuka (Dashboard) Ketua Audit Negara untuk paparan laporan secara maya di laman https://agdashboard.audit.gov.my/.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM