KUALA LUMPUR, 4 Julai - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada persidangan minggu hadapan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata keputusan untuk membenarkan laporan LKAN dibahaskan bukti kerajaan bersikap terbuka menerima kritikan membangun bagi menambah baik tatakelola negara.
Katanya, persidangan itu membolehkan Ahli Parlimen membahas isu dan memberi cadangan bagi meningkatkan pengurusan kementerian, jabatan dan agensi yang disebut.
"Keterbukaan kerajaan untuk menerima kritikan membangun dan konstruktif. Ini kita harap dapat dicerminkan dalam perbahasan minggu depan.
“Kita (kerajaan) terbuka untuk menerima kritikan tetapi janganlah sampai membuat tohmahan yang tidak berasas ataupun fitnah. Kita (Ahli Parlimen) berhak untuk bersuara, tapi tidak berhak untuk memfitnah ataupun menyebarkan maklumat yang palsu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Pertukaran Momerandum Persefahaman Program dan Inisiatif Bagi Penggunaan Rangkaian 5G Sektor Vertikal Serta Perusahaan Kecil dan Sederhana antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.
Ujar beliau, kementeriannya juga pernah ditegur berhubung pelaksanaan projek 'Point-of-Presence' (PoP) yang melibatkan kelewatan pelaksanaan fasa satu projek PoP yang sepatutnya selesai pada penghujung 2022.
“Ini adalah pada ketika sebelum saya dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) masuk, tetapi kami akan teliti teguran yang dibuat.
"Tapi kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan dan kini tinggal tiga tapak sahaja lagi belum dibangunkan," jelasnya.