SEPANG, 2 Mei - Lebih 600 individu menjadi petugas Operasi Haji Tanah Suci tahun ini bagi memastikan semua sektor operasi berjalan lancar.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kumpulan pertama meliputi 16 petugas telah berlepas, Selasa lalu.
Beliau berkata, pelepasan kumpulan kedua seramai 150 petugas melibatkan tiga kumpulan besar iaitu kebajikan, kesihatan dan petugas media.
"Kita ada dua lagi pelepasan pasukan petugas pendahulu iaitu pada 6 Mei seramai 70 orang dan 9 Mei seramai 80 orang dengan itu menjadikan keseluruhan petugas-petugas yang akan berlepas ialah seramai 316 orang.
"Mereka ini apabila sampai sahaja di Tanah Suci mereka akan terus melaksanakan persiapan-persiapan untuk operasi di sana dimana kumpulan-kumpulan ini terdiri dari mereka yang akan pergi ke Madinah dan ada juga yang akan pergi ke Mekah," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Petugas Haji, di sini.
Sementara itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menghantar empat wakil produksi ke Tanah Suci sebagai petugas media TH.
Mereka ialah Wartawan KamalFirmanshah Kamaluddin, Azizi Harun dan Muhammad Fahmi Mohd Nor, serta Jurukamera, Zulkifli Abu Samah.
"Segala persiapan alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar, cuma cabaran itu nanti ada pelbagai dari setiap sudut sebab kita berada di sana lebih kurang 50 ke 55 hari, jadi mengenai kesihatan itu sangat penting," kata Fahmi Mohd Nor.