fb fb fb fb fb

Liputan 5G di kawasan berpenduduk Kelantan cecah 67 peratus

Teo Nie Ching/RTM

KOTA BHARU, 23 Februari- Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kelantan telah mencapai 67 peratus melibatkan 232 stesen yang siap dibina setakat tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihaknya berhasrat untuk terus memperluaskan rangkaian internet 5G di negeri itu bagi membolehkan penduduk menjalankan urusan harian termasuk perniagaan dengan lebih baik.

"Kita beri keutamaan di kawasan bandar dan juga kawasan berpenduduk. Tidak terhad di kawasan bandar sahaja, tetapi kerana kawasan bandar kebiasaannya merupakan pusat aktiviti perniagaan, maka ia menjadi keutamaan dalam perancangan.

"Namun, hasrat kami adalah untuk memperluaskan lagi liputan capaian 5G ke semua kawasan berpenduduk," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu segmen Temubual Khas Kecek Kiro Kito di KelantanFM hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 152 menara telekomunikasi telah dibina melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberikan manfaat kepada 1.89 juta penduduk di Kelantan dengan akses internet yang lebih baik.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan liputan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024.

Perkembangan itu menjadikan Malaysia antara negara yang memperluaskan akses komunikasi dengan pantas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Fahmi turut memaklumkan kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat bagi tempoh sama telah mencapai 53.35 peratus, meningkat hampir lima kali ganda berbanding 10.8 peratus pada Oktober 2023.

Dalam pada itu, Teo berkata sebanyak 75 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di Kelantan dan empat lagi pusat dijangka siap serta mula beroperasi pada tahun ini.

NADI merupakan inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar.

SITI AISHAH MD ISA