
KANGAR, 10 Februari – Sebanyak 200 kotak limau mandarin dan 20,000 sampul angpau diagihkan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan.
- Agihan untuk memperkukuhkan hubungan dan perpaduan antara masyarakat Tionghua dan komuniti setempat.
- Gan Ay Ling menyeru semua kaum terus bersyukur atas keamanan dan keharmonian negara.
- Program diadakan setiap tahun untuk memberi kegembiraan kepada keluarga dan mengeratkan hubungan jiran tetangga.
- Lebih 5,000 penduduk Tionghua di DUN Indera Kayangan dijangka meraikan Tahun Baharu Cina bersama komuniti.
Agihan tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat Tionghua dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, masyarakat berbilang kaum perlu terus bersyukur atas keamanan dan keharmonian yang dinikmati di negara ini.
“Program sebegini dilaksanakan setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina bagi memberi kegembiraan kepada setiap keluarga serta mengukuhkan hubungan antara jiran tetangga dan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Limau Mandarin dan Sampul Angpau Tahun Baharu Cina di sekitar Pasar Cina, di sini pada Isnin.
Lebih 5,000 masyarakat Tionghua di kawasan DUN Indera Kayangan dijangka meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini bersama keluarga, sahabat handai dan masyarakat setempat.