fb fb fb fb fb

Lima termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Elite

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Lima individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kejadian itu pada 11.55 malam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian.


(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis)

"Saksi memaklumkan insiden tersebut membabitkan tujuh kenderaan namun apabila pihaknya tiba di tempat kejadian, hanya tiga kenderaan berada di lokasi iaitu lori yang melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tujuh warga Bangladesh.

"Lima mangsa yang cedera ringan, masing-masing tiga mangsa menaiki kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 13 dan 10 tahun. Manakala, dua lagi mangsa menaiki MPV iaitu wanita berusia 59 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa terbabit dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu lori dipercayai menghilangkan diri dari lokasi kejadian.

Media Baharu