fb fb fb fb fb

Lima sekolah agama disyaki ada kaitan GISBH tidak lagi beroperasi - JHEAIK

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin

POKOK SENA, 17 Oktober- Sebanyak lima sekolah agama disyaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikesan dan kebanyakannya sudah ditutup dan tidak beroperasi.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, pihaknya mengesan perkara itu ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di premis berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada pelajar ditemui kerana kesemua sekolah berkenaan sudah tidak beroperasi sejak kes tersebut mula menjadi perhatian.

"Dua dari lima sekolah agama dikaitkan dengan GISB itu ada di daerah Kuala Muda, dua lagi di Padang Terap dan satu di Baling. Apabila kita melakukan pemeriksaan tidak terdapat apa-apa bahan-bahan yang kita bolehkaitkan dengan GISB ini.

"Kebanyakan sekolah-sekolah didakwa ada kaitan dengan GISB telah ditutup dan tidak beroperasi," katanya ketika diminta mengulas perkembangan dan situasi semasa GISB di Kedah.

Beliau memaklumkan, premis perniagaan seperti restoran ataupun resort yang dikatakan ada hubungan dengan GISB didapati ada yang meneruskan aktiviti seperti biasa.

Menurutnya, ada premis perniagaan ini beroperasi namun didapati telah menukar atau pun menggunakan nama baharu.

Bagaimanapun, Abd Ghani berkata pihaknya juga tidak menemui bukti-bukti di premis perniagaan di Kedah yang dikaitkan dengan GISB tersebut.

Dalam pada itu, Abd Ghani berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan daripada Jabatan Mufti Negeri Kedah berkaitan fatwa terhadap GISBH di negeri itu.
 
Katanya, penentuan fatwa terhadap amalan dan kepercayaan kumpulan itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Mufti.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI