KUCHING, 16 Mei - Lima penambahbaikan utama untuk memperkasa kebajikan guru dan menambah baik sistem pendidikan negara akan dilaksanakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini termasuk pelonggaran syarat pertukaran guru.
"Mengambil kira beberapa pandangan dan keprihatinan kerajaan Madani dan kasih kepada guru-guru. Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan, KPM akan membuka permohonan pertukaran guru selepas seseorang guru itu berkhidmat cukup dua tahun atau 24 bulan tanpa syarat," katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025, hari ini.
"Kita juga akan melantik seramai 1470 orang personnel DG iaitu pembantu guru bagi tahun 2025 sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua orang pembantu guru bagi sekolah tersebut."
Sebagai penghargaan khas, 32 orang guru akan dihantar ke United Kingdom secara percuma untuk mengikuti latihan peningkatan profesional serta perkongsian amalan terbaik bersama pendidik antarabangsa menerusi program Global Innovation for Future Ready Teachers.
Manakala, sejumlah RM4 juta akan diperuntukkan bagi menghantar guru dan pegawai pendidikan ke luar negara untuk menyertai kursus jangka pendek dalam bidang terpilih.
Ia bagi memperkukuh kompetensi dan pengetahuan para guru.
Penambahbaikan kelima melibatkan kemudahan khas berupa diskaun 20 peratus untuk pembelian tiket penerbangan domestik dan antarabangsa menerusi portal MH GOM.
Menurut Fadhlina, kesemua inisiatif itu menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting guru dalam membentuk generasi masa depan dan memastikan pendidikan berkualiti untuk semua.