SHAH ALAM, 28 Februari – Sebanyak lima kes penyakit kusta telah dikesan di Selangor sehingga 20 Februari tahun ini, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr. Ummi Kalthom Shamsudin.
Beliau berkata, dua kes pertama dikesan pada Januari lalu di daerah Hulu Langat dan Sepang, manakala tiga kes baharu dicatatkan bulan ini di Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Menurutnya, situasi semasa penyakit berkenaan adalah terkawal, dan semua pesakit sedang menerima rawatan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan di daerah masing-masing.
“Selepas mendapat rawatan, mereka akan meneruskan rawatan di rumah masing-masing dan dipantau secara berkala. Tiada keperluan untuk bimbang kerana kusta adalah penyakit yang boleh dirawat serta dikesan awal. Kita juga sedang meningkatkan kesedaran dalam kalangan petugas perubatan bagi mengenal pasti gejala berkaitan kusta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Selangor, di sini.
Jelas Dr. Ummi Kalthom, daripada lima kes yang dilaporkan, tiga melibatkan warganegara termasuk seorang Orang Asli, manakala dua kes lagi membabitkan bukan warganegara.
Tambah beliau, tiada kes kusta dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan di Selangor setakat ini.