fb fb fb fb fb

Lima bekas petugas juruhebah RTM terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan HAWANA kepada pada penerima semasa hadir pada Majlis Madani Muhibah Aidilfitri anjuran Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan. Kerajaan Tempatan di Anjung Kementerian Komunikasi hari ini/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 April - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada lima bekas petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membantu meringankan beban mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Penerima adalah bekas juruhebah Radio Bahagian Melayu, Halijah Buang, 74, yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan asma serta bekas juruhebah di TV1, Khatijah@Suraya Ismail, 74, yang diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit lutut.

Turut menerima sumbangan ialah bekas juruhebah di Stesen Radio Sabah (Bahagian Agama dan Dakwah) Radziah Md Isa, 74, yang mengalami masalah jantung dan bekas juruhebah Stesen Suara Malaysia-Indonesia, Dewi Mohammad Shaleh, 67, yang menghidap penyakit kencing manis serta masalah kolesterol.

Seorang lagi penerima ialah bekas juruhebah FM Stereo, Suara Malaysia dan Nasional FM Fatimah Mohamed, 85, yang berhadapan masalah sakit lutut, sendi dan urat serta buah pinggang.

"Saya berasa berbangga dan berbesar hati ... terharu kerana di pilih untuk menerima sumbangan Aildilfitri Madani ini," kata Khatijah@Suraya Ismail yang merupakan bekas juruhebah RTM.

"Buat pertama kalinya kami dibagi penghargaan untuk sumbangan Hari Raya. Memang amat bertuahlah kami terpilih untuk menerima sumbangan," kata Radziah Md Isa.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana tidak semua mengingati kami yang dulu telah bertugas dengan RTM," kata Halijah Buang.

Sumbangan itu disampaikan Fahmi pada Majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri 1445H anjuran bersama Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganjuran bersama yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan simbolik kepada perpaduan dan keharmonian, selain dapat memperkukuh lagi hubungan antara dua kementerian dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berkualiti kepada rakyat.

Pada Majlis itu seramai 10 orang penggiat industri kreatif terdiri daripada pengarah, pelakon, pemuzik dan penyanyi menerima sumbangan Aidilfitri.

GRACE AISYAH KEDAYAN