fb fb fb fb fb

Liga Super: Kelantan tewas lagi

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 18 Mei - Hasrat Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengutip mata di laman sendiri tidak kesampaian.

Skuad bimbingan Park Jaehong tewas tipis 2-3 kepada Sabah FC pada perlawanan kedua Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Mohammad ke-4, Kota Bharu malam tadi (Jumaat).

Kedua-dua pasukan bermula seimbang apabila saling melancarkan serangan sebelum pasukan pelawat kendalian Datuk Ong Kim Swee memperolehi jaringan pertama pada minit ke-25 menerusi Gabriel Peres.

KDN FC terlepas peluang keemasan merapatkan jurang apabila Muzungu Lukombe gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, Skuad Kijang Emas cuba bangkit dengan melakukan beberapa serangan ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Stadium Sultan Muhammad ke-4 kembali bergemuruh dengan sorakan padu penyokong tuan rumah apabila Kim Lik Wan menjaringkan gol pada minit ke-55.

Kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dihukum pada minit ke-65 apabila rembatan deras dari luar kotak penalti Stuart Wilkin menerjah gawang KDN FC untuk gol kedua Sabah.

Pelawat terus menjarakkan kedudukan apabila Roman Macedo meledak gol ketiga pada minit ke-68.

Perlawanan menjadi lebih menarik apabila Bae Kyeong Hwa menjaringkan gol kedua KDN FC pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan 2-3.

Usaha itu bagaimanapun sudah terlambat apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat sekali gus menyasikan kemenangan berpihak kepada Sabah FC.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD