KUALA LUMPUR, 16 November - Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang petugas syarikat penerbangan berhubung kes pergaduhan di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Azman Shari'at berkata pergaduhan itu berlaku pada 10 November lalu.
"Kelewatan mendaftar masuk dipercayai menjadi punca perselisihan faham antara seorang penumpang tempatan dengan pekerja berkenaan. Susulan perselisihan faham itu, berlaku pergaduhan kecil dan petugas syarikat penerbangan terbabit mengalami cedera ringan," katanya menerusi kenyataan.
Kes berkenaan kini disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Azman turut menasihat orang ramai supaya tidak menyebar atau memuat naik sebarang kenyataan yang tidak benar dan palsu berhubung kes tersebut.
Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di Terminal Satu KLIA melibatkan dua individu.