SHAH ALAM, 22 April-Seorang pekerja kilang kritikal, manakala dua lagi cedera dalam insiden letupan gas nitrogen yang berlaku di sebuah kilang di Shah Alam, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata ketika kejadian, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai sedang menjalankan ujian tekanan gas.
"Kami mendapat panggilan berhubung insiden itu sekitar pada pukul 10.14 pagi dan segera menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke lokasi kejadian.
"Unit Bahan Kimia Berbahaya turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi melaksanakan pemantauan risiko.
"Insiden letupan gas itu tidak melibatkan struktur bangunan," katanya menerusi kenyataan.