
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Peniaga bazar Ramadan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meletakkan harga makanan yang munasabah dan mampu dibeli oleh pengunjung.
- Harga makanan perlu munasabah dan mampu dibeli pengunjung untuk meringankan beban semasa Ramadan.
- Pengurangan kadar sewa tapak daripada RM500 kepada RM400 membantu ringankan kos penjaja kecil.
- Peniaga digalak meletakkan harga berpatutan supaya makanan rahmah dapat dinikmati pengunjung.
- Penganjuran bazar Ramadan dipertingkatkan untuk memperkukuh tadbir urus dan melindungi kebajikan penjaja kecil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata ia memandangkan kadar sewa tapak bazar Ramadan yang diturunkan daripada RM500 kepada RM400 telah membantu meringankan kos penjaja kecil.
Sehubungan itu, peniaga wajar meletakkan harga mampu beli supaya tidak membebankan pengunjung.
“Saya berharap semua peniaga dapat meletakkan harga yang munasabah supaya pengunjung dapat membeli makanan rahmah.
“Selain itu, langkah menurunkan kadar caj sewa tapak daripada RM500 kepada RM400 pastinya membantu meringankan beban peniaga.” katanya ketika ditemui selepas sesi tinjauan mesra di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Tasik Permaisuri, di sini hari ini.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Kawasan Bandar Tun Razak turut menyantuni peniaga-peniaga di bazar berkenaan.
Mengulas lanjut, Hannah berkata penambaikan menyeluruh turut dilaksana bagi penganjuran bazar Ramadan 2026 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaras dengan komitmen memperkukuh tadbir urus, melindungi kebajikan penjaja kecil serta menjaga kepentingan awam.
Penganjuran bazar Ramadan tahun ini akan diadakan di sembilan lokasi bawah seliaan DBKL, manakala 32 lokasi pula dikendalikan Persatuan Penjaja.