KUALA LUMPUR, 10 Julai - Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kategori pendengaran dan pertuturan boleh memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) e-hailing.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata syarat utama adalah pemohon perlu memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas D/DA dan mendapat pengesahan kesihatan daripada Pengamal Perubatan Berdaftar.
"Perundangan subsidiari di bawah Kaedah 4, Kaedah-kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan Dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959 pula telah menggariskan bahawa pemohon yang memohon sesuatu Lesen Vokasional perlu memiliki suatu sijil perubatan yang menunjukkan dia tidak mengalami apa-apa penyakit atau kecacatan fizikal.
"Ini agar tidak mengganggu keberkesanannya dalam menjalankan kewajipannya sebagai seorang pemandu atau menyebabkan pemanduannya bagi sesuatu kenderaan perkhidmatan awam menjadi sumber bahaya kepada orang awam," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Subang, Wong Chen di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah Hasbi, bagi Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas A/A1 pula, pemohon tidak dibenarkan untuk memohon lesen tersebut untuk sebarang kelas.
Perkara itu katanya termaktub di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan pemohon perlu membuat akuan sama ada menghidap atau tidak penyakit dan kecacatan fizikal yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.