KUALA LUMPUR, 7 Disember- Pimpinan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar melepaskan ego kepartian demi mencapai matlamat lebih besar iaitu kepentingan politik negara yang terbuka agar diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan dalam mengatur agenda politiknya dan melihat daripada sudut pandang lebih luas.
"Inilah dinamika politik negara yang berubah mengikut acuan semasa, tidak terperosok dalam ego kepartian semata-mata.
"Sebaliknya, kita mesti bersedia melihat daripada sudut pandang yang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat yang lebih besar berpaksikan politik untuk negara," katanya dalam ucaptama pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Katanya, rakyat kini menilai bukan hanya pada janji, tetapi pada tindakan dan keputusan yang menunjukkan kebijaksanaan dalam mengurus negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata isu perubahan iklim, teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital akan lebih diketengahkan demi kemajuan negara.
Beliau berkata, peranan itu perlu dimainkan susulan isu-isu tersebut menjadi keutamaan generasi baharu.
"Dalam mengadaptasi perubahan, kita tidak boleh lagi berada dalam defensive mode. Anjakan mesti dilakukan dengan memanfaatkan teknologi, data, dan media sosial yang semakin mendominasi pola pemikiran politik rakyat.
"Malah, gerak kerja kita hari ini mesti diperkuat dengan data analitik dan strategi digital yang ampuh," kata Ahmad Zahid.
Katanya, rakyat mahu melihat penampilan dasar-dasar progresif yang membina masa depan negara dan tidak sekadar bergantung kepada kejayaan masa lalu.