KANGAR, 31 Disember- Lepasan GiatMARA perlu berani mengharungi cabaran untuk berjaya dalam kehidupan terutamanya dalam mempraktikkan setiap ilmu dan latihan yang diperolehi ketika berada di GiatMARA.
Menurut Pengarah GIATMARA Negeri, Harun Radzi, walaupun telah berjaya menamatkan latihan yang disediakan para pengajar, namun banyak lagi yang perlu dipelajari oleh setiap pelatih selari dengan perkembangan teknologi hari ini agar tidak ketinggalan.
Selain itu, mereka disaran untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan peka akan perubahan terkini dalam bidang kepakaran yang diceburi.
"Setiap lepasan GiatMARA diingatkan supaya terus mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing bukan sahaja mengharumkan GiatMARA tapi juga demi masa depan pelatih sendiri," kata Harun dalam ucapannya pada Majlis Pra Graduasi GiatMARA Perlis di Kangar yang turut diserikan dengan penyampaian anugerah pelatih terbaik bagi setiap 12 kursus yang diikuti.
Bagi sesi 2/2023 yang telah tamat pada 28 Disember lalu, seramai 117 pelatih telah berjaya menamatkan latihan dan bakal menghadiri majlis konvokesyen tahun depan.
Bagi kemasukan baharu 2024, majlis penerimaan dan pendaftaran pelatih dijangka bermula pada 2 Januari 2024 di kesemua tiga GiatMARA iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar dengan sasaran 170 pelatih baharu.