ALOR SETAR, 28 Mac – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan mendapat reaksi positif ahli akademik yang melihatnya sebagai langkah berkesan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, usaha itu perlu diperkasa secara menyeluruh, bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.
“Langkah ini bertepatan dengan saranan kerajaan untuk menjadikan Jalur Gemilang bukan sekadar logo, tetapi ikon dan simbol semangat patriotik yang perlu diterapkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurut beliau, semangat cintakan negara harus ditanam sejak kecil bagi memastikan nilai jati diri kekal utuh dalam kalangan murid pelbagai kaum.
“Apabila anak-anak melihat bendera negara di pakaian harian mereka, ia bukan sahaja membina identiti nasional, tetapi juga rasa bangga terhadap tanah air,” ujarnya.
KPM sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang akan bermula secara berperingkat mulai 21 April ini.
Pelaksanaan itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Setiap murid akan dibekalkan dua unit lencana secara percuma bagi sesi persekolahan 2025/2026.
KPM turut mengeluarkan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang yang disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2025 bagi memastikan pemakaian dilaksanakan mengikut tatacara yang betul.
Langkah ini selari dengan matlamat memperkukuh nilai kebangsaan dalam sistem pendidikan serta mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara.