KEPALA BATAS, 21 April- Inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar sekolah mampu menyemai semangat patriotisme, jati diri dan rasa cinta kepada negara sejak di bangku sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bermula hari ini, semua pelajar sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memakai lencana tersebut sebagai simbol semangat kebangsaan yang diterapkan melalui pendekatan Pendidikan MADANI.
“Inisiatif ini adalah iltizam KPM untuk memupuk semangat cinta negara, perpaduan dan jati diri kebangsaan sejak dari peringkat prasekolah hingga ke semua institusi pendidikan di bawah KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas.
Fadhlina turut mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk institusi pendidikan di luar bidang kuasa KPM untuk bersama menyokong inisiatif itu.
“Yang bukan bawah KPM pun kita galakkan bersama, supaya semangat ini dikongsi dan didukung semua pihak,” ujarnya.
Dalam tinjauan RTM di sekolah berkenaan, rata-rata pelajar menyatakan rasa bangga dan teruja menyertai inisiatif berkenaan.
Muhammad Darwisy Hakimi Rahim, salah seorang pelajar berkata; “Saya rasa sangat bangga. Ia bukan sekadar lencana, tapi simbol memartabatkan Jalur Gemilang dan melahirkan semangat patriotik dalam diri saya sebagai murid dan rakyat Malaysia.”
Muhammad Haikal Mat Jamil pula menyifatkan pemakaian lencana sebagai satu bentuk penghargaan terhadap sejarah negara.
“Bendera ini bukan sekadar hiasan. Ia mengingatkan saya pada perjuangan tokoh negara dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Nur Damia Ahmad Mawardi pula menyatakan rasa bangga terhadap negara; “Saya rasa bangga dan bersemangat. Ia bantu pupuk patriotisme dalam diri saya.”
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.