
ALOR SETAR, 7 Februari – Lembaga Zakat Negeri Kedah LZNK diaudit secara berkala oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Audit Negara untuk menjamin ketelusan dalam kepatuhan
piawaian pengurusan, serta integriti dalam kutipan dan agihan zakat.
- Audit berkala oleh pihak berkuasa memastikan ketelusan dan kepatuhan piawaian pengurusan LZNK.
- Pemantauan meningkatkan integriti kutipan dan agihan zakat serta kepercayaan awam terhadap institusi.
- Peningkatan kutipan tanpa tunai menunjukkan keberkesanan digital sambil mengekalkan peranan amil tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pemantauan tersebut sekaligus meningkatkan kepercayaan awam terhadap institusi itu terutama pembayar zakat .
Katanya, LZNK menyokong usaha Jabatan Audit Negara meningkatkan integriti dan tatakelola aset-aset di negeri Kedah melalui audit yang dilaksanakan untuk pembangunan umat Islam.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hi Tea dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh 25 buah syarikat korporat.
Hadir sama Mufti Kedah, Datuk Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang.
Mengenai kaedah kutipan zakat, Datuk Syeikh Zakariaberkata, bagi tahun 2025 merekodkan 87.34 peratus diterima secara tanpa tunai atau digital dengan jumlah mencecah RM322.86 juta, melepasi sasaran dengan peningkatan RM18.05 juta.
Tambahnya, inisiatif itu dilihat berkesan namun beliau menolak pandangan berlakunya pengurangan penggunaan amil.
Secara tradisi kaedah pengunaan amil masih sesuai dilaksanakan terutama di kawasan yang kurang akses talian internet serta lebih kepada kepuasan pembayar zakat.
Tahun lalu, sebanyak 3,200 amil zakat dilantik di Kedah berbanding tahun ini 2,971 orang.