TAIPING, 17 Januari- Lembaga Air Perak (LAP) belum membuat keputusan berkaitan kadar kenaikan tarif air meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN) akan menguatkuasakan pelarasan berkenaan pada 1 Februari hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata LAP masih menjalankan kajian terhadap pelarasan tarif air di negeri ini dan ia akan dibawa ke perbincangan Mesyuarat Ahli Kerajaan Negeri sebelum ia dilaksanakan.
"Jadi, apabila SPAN buat keputusan begitu, negeri Perak tertakluk kepada kajian yang dibuat LAP secara terperinci.
“Jika LAP hendak mengikut seperti mana dibenarkan oleh SPAN maka LAP perlu membawa cadangan itu dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah, kemudian dibawa ke mesyuarat Exco,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja bersama barisan exco kerajaan negeri ke Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) jajaran Seksyen 11 (Beruas-Taiping Selatan) di Changkat Jering di sini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, kajian itu perlu dilakukan secara dinamik dengan mengambil kira pertambahan bilangan penduduk dan keadaan usia paip serta beberapa faktor lain.
SPAN hari ini melaporkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Februari hadapan.
Pelarasan tersebut melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.