MUAR, 5 Julai-Seorang lelaki rentung manakala dua anggota polis cedera parah, selepas dua kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi Empat, Parit Jawa, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul empat pagi itu semasa dua anggota polis berkenaan sedang melakukan rondaan dan menahan suspek di Pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.
Namun suspek bertindak melarikan diri dengan memecut laju kenderaan ke arah Parit Jamil.
Ketika usaha mengejar suspek dilakukan kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.
Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu suspek terbakar dan mengakibatkannya rentung. Manakala dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan.
Mayat suspek yang rentung dibawa ke hospital sama bagi tujuan DNA bagi mengesahkan identiti mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.