KUALA LUMPUR, 18 September- Penunggang motosikal yang merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-Port dickson; direman hingga Khamis ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret, Uthman Abd Ghani di Mahkamah Majistret Port Dickson.
Penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh sejak 2012.
Lelaki berusia 25 tahun itu turut disahkan memiliki lapan rekod jenayah dan dadah selain memiliki dua rekod senarai hitam berkaitan kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed memaklumkan lelaki itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
Dalam kejadian semalam; anggota JPJ terbabit cedera dan dikejarkan ke hospital Port Dickson.
(Anggota JPJ cedera akibat rempuhan di Lebuhraya Seremban-Port dickson)