Lelaki pengsan di Gunung Stong diselamatkan

FOTO BALAI BOMBA DABONG

KUALA KRAI, 18 Januari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan melaksanakan operasi bantuan menyelamat seorang lelaki yang dilaporkan pengsan ketika berada di kawasan Gunung Stong berhampiran Kem Baha, Dabong di sini, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi menyelamat dilaksanakan oleh 8 anggota BBP Dabong selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki pengsan di Gunung Stong.
  • Mangsa, pemilik Kem Baha dan malim gunung, tidak mengalami kecederaan fizikal; diberikan bantuan awal dan dibawa turun.
  • Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut; JBPM menasihatkan utamakan keselamatan dan kesihatan ketika di gunung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Pegawai Kanan Bomba II Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 petang daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki dewasa tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.

“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai bagi melaksanakan operasi bantuan menyelamat.

“Mangsa merupakan pemilik Kem Baha dan telah berada di kem tersebut selama tiga hari bagi membuat persiapan program yang akan dijalankan di kawasan berkenaan.

“Mangsa juga seorang malim gunung dan ketika kejadian beliau bersama beberapa orang malim gunung lain. Beliau dilaporkan pengsan namun tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal sebelum membawa mangsa turun dari kawasan gunung dan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi RTM.

Operasi menyelamat melibatkan sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dijalankan mengikut prosedur operasi standard dengan mengambil kira faktor muka bumi pergunungan.

JBPM menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan tahap kesihatan diri ketika melakukan aktiviti di kawasan pergunungan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan