fb fb fb fb fb

Lelaki OKU maut dalam kebakaran kedai motosikal

Sebuah premis kedai motosikal di Lorong 1, Taman Sri Utama, Gurun memusnahkan hampir 90 peratus struktur kedai

GURUN, 28 Januari- Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 34 tahun maut dalam kebakaran melibatkan sebuah premis kedai motosikal di Lorong 1, Taman Sri Utama, Gurun, Kedah, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB I) Wan Mohd Hamizi Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 4.40 pagi.

Beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak dan Yan diarah ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah kedai kelas A satu tingkat.

"Pihak bomba menggunakan enam aliran dan enam pancutan dari jentera bomba Guar Chempedak; Yan dan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan untuk memadam kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.17 pagi dan kebakaran telah memusnahkan hampir 90 peratus struktur kedai…" katanya dalam kenyataan di sini.

Pihak bomba terpaksa memotong pintu utama yang diperbuat daripada gerisi besi bagi mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam premis.

"Mangsa berjaya ditemukan di dalam tandas premis dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mangsa terperangkap ketika kebakaran, namun tidak rentung…" katanya.

Bagaimanapun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI