fb fb fb fb fb

Lelaki nyaris maut, kereta masuk gaung sedalam 120 meter

Mangsa, Ismail Rasdi, 26, sedang dibantu oleh bomba selepas kereta (bulatan) dinaiki terbabas ke dalam gaung

BALING, 22 Jun- Seorang Pembantu Kesihatan Awam di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Baling di Kedah nyaris maut selepas kereta yang dipandu terjunam ke dalam gaung sedalam 120 meter.

Kejadian berlaku di kawasan berbukit di Kampung Kemangi, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Ismail Rasdi, 26, dalam perjalanan dari kampung halamannya di Kelantan menghala ke rumah di Baling.

Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika sedang menuruni bukit dalam keadaan jalan basah serta berselekoh. Ia menyebabkan kereta terbabas melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung.

Mangsa bagaimanapun berjaya keluar daripada kenderaan dan memanjat tebing untuk mendapatkan bantuan.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan iaitu luka di bahagian bahu kiri, kaki kiri, luka di kedua-dua belah tangan serta sakit dibahagian badan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Shamsudin berkata, hasil semakan dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati tiada sebarang kesan minyak di atas jalan raya di lokasi kemalangan.

Sehubungan itu, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan.

2206 AS NYARIS MAUT JATUH GAUNG
Keadaan kereta mangsa yang terbabas ke gaung sedalam 120 meter

SITI AISHAH MD ISA