Lelaki maut pacuan empat roda terjunam gaung

Foto JBPM

MIRI, 24 Februari – Seorang lelaki maut manakala isterinya terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki berusia 47 tahun maut selepas pacuan empat roda terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Jalan Balak, Pendang Lelat.
  • Isteri mangsa, 46 tahun, berjaya terselamat dan dilaporkan stabil selepas keluar dari kenderaan sebelum kejadian kedua.
  • Anggota bomba tiba selepas perjalanan 220 kilometer; mayat dibawa ke Hospital Marudi untuk bedah siasat.

Kemalangan berlaku di Jalan Balak, Pendang Lelat, Ulu Baram, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Wan Anyi, 47 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala isterinya, Ijan Jok, 46 tahun, dilaporkan stabil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Jessbent Jenus berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan dari Long Banga menuju ke Miri.

Menurutnya, kenderaan berkenaan pada awalnya terjunam dan tersangkut kira-kira lima meter dari tebing jalan, sebelum isteri mangsa yang tersedar berjaya keluar dari kenderaan.

“Bagaimanapun, kenderaan itu jatuh sekali lagi sebelum tersangkut di celah pokok balak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.27 tengah malam sebelum sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

Jentera tiba di lokasi pada pukul 7.50 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 220 kilometer.

Mangsa yang masih terperangkap berjaya dikeluarkan dan dibawa naik ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Marudi bagi tujuan bedah siasat.