fb fb fb fb fb

Lelaki maut, kereta terbabas masuk parit

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba Malaysia Official)

PASIR GUDANG, 27 Disember- Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya bersama seorang lagi lelaki terlibat kemalangan di Jalan Masai Utama 1, Taman Masai, Johor, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.23 pagi melalui talian MERS999.

Bertindak atas maklumat, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sejurus panggilan diterima.

Sebaik tiba, kedua-dua mangsa didapati telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Razali Hussein berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta yang hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam parit.

Bomba kemudian membawa naik mangsa ke tebing jalan raya menggunakan pengusung.

Petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang mangsa, 35, meninggal dunia, manakala seorang lagi, 23, mengalami kecederaan ringan.

Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA