fb fb fb fb fb

Lelaki maut, kereta terbabas di lebuh raya

Kereta yang dipandu hilang kawalan, terbabas ke kiri jalan di KM 87.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan

SUNGAI PETANI, 25 Disember- Seorang pemandu maut dalam nahas jalan raya apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan di kilometer 87.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata lelaki berumur 34 tahun disahkan maut akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya dalam satu kenyataan, seorang lagi penumpang hadapan cedera ringan manakala penumpang di bahagian belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kereta dipandu mangsa dari arah Alor Setar ke Butterworth.

Kemalangan yang dilaporkan kira-kira puku 7.00 pagi itu menyebabkan kereta terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian depan, lampu dan cermin depan pecah serta pintu kiri kemek.

Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Penumpang yang cedera turut dibawa menerima rawatan di HSAH.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan APJ 1987.

ROSLINA BINTI DIN