Lelaki maut kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kuantan–Segamat

FOTO POLIS ROMPIN

ROMPIN, 6 Februari – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 143 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran jambatan timbang MPOB, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 143 Jalan Kuantan–Segamat dekat jambatan timbang MPOB.
  • Pemandu kereta dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua kenderaan lain.
  • Seorang lelaki mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa, Abdul Rahman Yusoff, 60, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.20 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu dari arah Segamat menuju ke Kuantan dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan tersebut kemudian merempuh dua lagi kenderaan dari arah Kuantan ke Segamat.

Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.