Lelaki maut dihempap lori simen di Sibu

FOTO JBPM SARAWAK

SIBU, 11 Februari – Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebuah lori pembancuh simen dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Deashon, di sini, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu 60 tahun tersepit dan tidak sedarkan diri selepas pacuan empat roda dihempap lori pembancuh simen.
  • Usaha awal guna beg udara gagal; dua kren swasta diperlukan untuk mengalihkan lori yang membawa muatan penuh.
  • Pasukan bomba lakukan pemotongan; mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.18 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut beliau, usaha awal untuk mengalihkan lori menggunakan beg udara tidak berjaya berikutan kenderaan berat itu membawa muatan penuh sebelum bantuan dua kren milik syarikat swasta digunakan bagi mengalihkan lori berkenaan.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja pemotongan untuk mengeluarkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi,” katanya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ting Teck Kee. Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.03 petang.