SUNGAI PETANI, 8 Jun - Seorang lelaki maut selepas jengkaut yang dipandunya terbalik ketika melakukan kerja pembersihana hutan di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Bukit Air Nasi Semeling, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai cuba menyelamatkan diri setelah jengkaut yang dikendalikannya terbalik akibat struktur tanah yang lembut.
"Mangsa dikenali sebagai Arumugam A/L Sangaran, dari Taman Lembah Merbok dilaporkan melompat keluar daripada jengkaut namun tidak berjaya. Bumbung jengkaut tersebut telah menghempap belakang badan mangsa," katanya menerusi kenyataan.
Kematian mangsa disahkan Pembantu Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Bedong.
Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan mayat mangsa telah di bawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.