Lelaki maut dihempap ‘bucket’ jengkaut

Foto RTM

TUMPAT, 25 Februari – Seorang lelaki maut selepas dipercayai dihempap bahagian ‘bucket’ sebuah jengkaut ketika menjalankan kerja pemasangan longkang di Jalan Pantai Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki 31 tahun maut selepas dipercayai dihempap bahagian bucket jengkaut semasa pasang longkang.
  • Kejadian berlaku di Jalan Pantai Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat sekitar 1.40 petang.
  • Tidak ditemui unsur jenayah; mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
  • Orang ramai diminta hubungi IPD Tumpat 09-725 7222 atau tampil ke balai polis untuk maklumat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, mangsa yang juga penduduk tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah menerima panggilan kecemasan MERS 999 berhubung kejadian berkenaan sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja pemasangan longkang di kawasan tepi jalan menghala ke Pantai Geting sebelum sebuah jengkaut yang dikendalikan rakan sekerjanya dipercayai tergelincir.

“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan laporan perubatan mengesahkan punca kematian sebagai kecederaan pembinaan dengan kecederaan intraabdomen serius serta lebam pada paru-paru kiri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.