
KUALA LUMPUR, 12 Januari -Seorang lelaki maut dalam insiden letupan pemampat penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.
- Satu lelaki tempatan berusia 24 tahun maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas letupan pemampat penyaman udara.
- Letupan menyebabkan beberapa mangsa cedera, melecur dan kerosakan struktur termasuk dinding runtuh.
- JBPM mengesan kebocoran gas sebagai punca awal; siasatan lanjut dan langkah keselamatan Hazmat dijalankan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu melibatkan 10 mangsa.
Jelas beliau, mangsa yang terkorban merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor penyaman udara.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Fadil, letupan kuat itu menyebabkan beberapa mangsa cedera selain mengakibatkan kerosakan struktur bangunan.
“Setakat ini, hasil daripada letupan itu ada yang melecur dan ada yang cedera terkena serpihan kerana impak letupan yang sangat kuat sehingga menyebabkan dinding runtuh.
Pihak pengurusan memaklumkan sebelum ini berlaku ‘shortage trip’ dan perlu pembaikan, sebab itu juruteknik datang untuk membaikinya,” katanya.
Beliau memberitahu, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 11.40 pagi berhubung letupan yang berlaku di kawasan penyelenggaraan berhampiran kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.
Pemeriksaan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Seramai 38 anggota JBPM termasuk unit bahan berbahaya (Hazmat) dan pasukan Forensik Bomba dikerahkan bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh.
Langkah itu bagi memastikan kawasan berkenaan selamat sepenuhnya dan mengelakkan risiko letupan susulan.