Lelaki maut dalam kebakaran di Kuala Nerus

Foto RTM

KUALA NERUS, 28 Januari – Seorang lelaki meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Gelam Mengabang Telipot, Kuala Nerus, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki, Mohd Shafie Awang@Abdul Rahman, ditemukan maut selepas kebakaran di Kampung Tanjung Gelam Mengabang Telipot.
  • JBPM Terengganu menerima laporan pada 7.45 malam dan awalnya dimaklumkan tiada mangsa terlibat.
  • Empat jentera dan 21 anggota bomba dikerahkan; api dikawal dalam lapan minit tetapi rumah musnah sepenuhnya.
  • Mayat dihantar ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat; punca kebakaran masih disiasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Shafie Awang@Abdul Rahman berusia 49 tahun.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.45 malam.

“Pada mulanya pihak bomba menerima maklumat tiada mangsa terlibat, tapi setelah selesai operasi pemadaman kita mendapat maklumat daripada pihak keluarga yang menyatakan terdapat seorang mangsa di rumah berkenaan.

“Jadi kita membuat pencarian dan menemukan mayat seorang lelaki,” katanya.

Menurut beliau, empat jentera bersama 21 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Api dapat dikawal lapan minit kemudian namun kebakaran telah memusnahkan 100 peratus kediaman berkenaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin untuk urusan bedah siasat.

Punca kejadian masih dalam siasatan.