KUCHING, 8 November- Seorang lelaki berumur lingkungan 40-an maut dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Kwong Lee Bank pada pukul 12.49 tengah hari semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori treler dan seorang pembonceng motosikal.
Beliau menerusi kenyataan memaklumkan, kemalangan tersebut dipercayai berlaku semasa pemandu lori yang juga berusia 40-an itu hendak memasuki simpang kiri lalu bergesel dengan motosikal mangsa yang cuba memotong di sebelah kiri lori tersebut.
"Akibat dari pergeselan itu, motosikal mangsa yang bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan itu terjatuh dan diheret oleh pemandu lori tersebut yang merupakan lelaki tempatan.
"Pembonceng motosikal itu telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 1.30 tengah hari," menurut kenyataan itu.
Sementara itu pemandu lori treler itu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.