fb fb fb fb fb

Lelaki lemas tergelincir ketika memancing di kampung Padang Jawa

FOTO FAIL

SHAH ALAM, 6 Jun - Seorang lelaki tempatan ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai ketika memancing di kawasan sebuah kunci air di Kampung Padang Jawa, Seksyen 16, di sini petang tadi.

Mayat mangsa berusia 26 tahun itu dijumpai oleh anggota bomba dan penyelamat Seksyen 15 dalam jarak 15 meter dari lokasi kejadian pada pukul 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu tergelincir ketika hendak naik dari tempat memancing bersama rakannya sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata operasi menyelamat lelaki tersebut dijalankan setelah mendapat panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.29 petang.

Katanya Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba berjaya menemukan jasad lelaki berkenaan selepas hampir dua jam pencarian.

TETITIA YUSOFF