fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas ketika menjaring ikan di Sungai Lepar

Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjaring ikan bersama dua rakannya di Sungai Lepar, berdekatan Ladang LKPP Jalan Gemuruh, Pekan tengah hari tadi / Foto RTM

KUANTAN, 30 September – Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjaring ikan bersama dua rakannya di Sungai Lepar, berdekatan Ladang LKPP Jalan Gemuruh, Pekan, sekitar pukul 1.19 tengah hari tadi.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, serta tujuh anggota dari BBP Peramu, telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi, pihak bomba segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar sungai berkenaan. Mangsa, Muhamad Saifol Azmi Adiauddin, 33, masih belum ditemui, manakala dua rakannya dilaporkan selamat," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zulfadli, operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.30 petang dan akan disambung esok menggunakan kaedah selaman.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN