KUANTAN, 9 Januari- Seorang pekerja ladang dikhuatiri lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit ketika meredah air di ladang kelapa sawit Sungai Bebar Utara, Pekan, sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa, Muhammad Adhwa Haslan, 31, dalam perjalanan pulang ke rumah di perumahan ladang berkenaan sebelum terlibat kemalangan itu pada pukul 4.55 petang.
"Rakan mangsa yang berkonvoi bersama mendakwa mereka telah meredah air sedalam 0.33 meter yang melimpah di atas jalan utama ladang apabila motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke parit.
"Rakan mangsa mendakwa seorang pengawal keselamatan yang berada berhampiran lokasi kejadian terjun ke parit untuk menyelamatkannya, namun gagal kerana arus deras," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang semalam, namun dihentikan pada malam berikutan faktor cuaca dan disambung pagi ini.