fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas jatuh dari Jambatan Putra

Sebuah motosikal dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan atas jambatan dengan enjin masih hidup

KUANTAN, 4 Mac- Seorang lelaki berusia 22 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dalam Sungai Kuantan dari Jambatan Putra di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.43 malam selepas aduan dibuat oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, saksi ternampak sebuah motosikal ditinggalkan atas jambatan dengan enjin masih hidup serta sebuah telefon bimbit dalam keadaan sedang membuat panggilan video.

Curiga dengan situasi tersebut, saksi segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi memaklumkan kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 11.30 malam dengan bantuan pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi penguatkuasaan lain.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan operasi SAR yang bersambung pagi tadi turut membabitkan dua anjing pengesan, Frankie dan Denti dari Unit K9 JBPM.

Operasi itu turut dibantu oleh Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Kuantan serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

0403 JATUH JAMBATAN 2
Operasi SAR hari ini turut melibatkan anjing pengesan dari Unit K9 JBPM

SITI AISHAH MD ISA