KUANTAN, 24 Disember - Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas terlibat dalam insiden cubaan membunuh diri di Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang.
Menurutnya, mangsa telah terjun ke dalam sungai namun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan sebelum dibawa ke tebing sungai dan menerima rawatan awal oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM.
Mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 39 tahun kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut dan diserahkan kepada pihak perubatan serta polis.
Operasi melibatkan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS itu tamat sepenuhnya pukul 3.30 petang.
JBPM menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap kesihatan mental dan segera mendapatkan bantuan jika berdepan tekanan emosi.