fb fb fb fb fb

Legasi Abdul Taib jadi inspirasi untuk terus majukan Sarawak - Mutang Tagal

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal

KUALA LUMPUR, 21 Februari - Legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang mewariskan kemajuan, pembangunan dan perpaduan rakyat negeri itu akan terus menjadi inspirasi kepada semua untuk terus memajukan negeri Bumi Kenyalang.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal dalam kenyataan berkata kepemimpinan Abdul Taib yang berwawasan, dedikasi kepada perkhidmatan awam dan usaha tanpa lelah untuk meningkatkan kehidupan rakyat akan terus diingati dan dihargai generasi akan datang.

Katanya Abdul Taib juga memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai taman perindustrian seperti Taman Perindustrian Samajaya selain menubuhkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada 2008, sebuah kawasan ekonomi dan koridor pembangunan yang merangkumi kawasan sentral Sarawak.

"Di bawah pimpinannya sebagai Ketua Menteri, Sarawak telah memulakan era dan perjalanan industrialisasi. Abdul Taib juga memimpin usaha transformasi dalam sektor utama seperti kayu, kelapa sawit, dan hutan," katanya.

Mutang secara peribadi berkata beliau terhutang budi kepada Abdul Taib yang meletakkan kepercayaan kepadanya untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas (kini Lawas dan Limbang) seterusnya berkhidmat di situ sehingga 1990.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di sebuah hospital di Kuala Lumpur. 

TETITIA YUSOFF