GUA MUSANG, 1 Januari- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan lebih RM900,000 untuk penyediaan bekalan bakul makanan bagi membantu masyarakat orang asli yang terkesan akibat bencana termasuklah banjir dan ancaman haiwan liar.
Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, kontrak bakul makanan bagi tempoh dua tahun bermula hujung Oktober 2023 hingga September tahun ini untuk keperluan 5,000 keluarga orang asli di Kelantan dan Terengganu.
Namun sekiranya ada keperluan bakul makanan, JAKOA akan menggerakkan bantuan ke kampung-kampung terlibat dengan bencana.
"Pembekalan bakul makanan di semua pos di Kelantan dan Terengganu ini adalah bergantung kepada situasi semasa. Pemberian ini khusus kepada penduduk terjejas akibat bencana atau ancaman haiwan liar di sesuatu kawasan.
"Biasanya kita akan dapatkan laporan daripada penduduk dan kita akan buat siasatan berdasarkan kepada aduan. Selepas itu kita akan hantar bakul makanan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan pada hari ketiga kepada masyarakat orang asli di pedalaman Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Padang Kompleks Perdana Gua Musang di sini.
Dalam pada itu Roslina turut memaklumkan bahawa sebanyak 6,750 bakul makanan disediakan kepada masyarakat orang asli dalam tempoh itu.