fb fb fb fb fb

Lebih RM300,000 diperuntukan perkasa industri nanas di Terengganu


SETIU, 11 Januari- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, LPNM menyalurkan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM328,555 untuk Negeri Terengganu.

Ini melibatkan insentif bantuan dan peralatan seperti set mesin pam semburan serta insentif lori pengangkut.

Bagi pembangunan tanaman nanas, negeri tersebut menerima peruntukan berjumlah RM1.5 juta di bawah skop Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi serta lain-lain peruntukan, melibatkan ladang kontrak serta industri kecil dan sederhana.

Sekali gus menjadikan nilai keseluruhan peruntukan termasuk PRE Prihatin adalah sebanyak RM1.89 juta.

Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, Terengganu mempunyai potensi besar bagi memperluaskan kawasan tanaman nanas yang pada ketika ini sudah mencecah 300 hektar.

Antara kawasan penanaman utama nanas di negeri itu, terletak di daerah Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Tumpuan pastinya terhadap tanaman nanas varieti premium seperti MD2 untuk pasaran tempatan dan juga eksport.

"Untuk setiap tahun kita libatkan lebih kurang 1,000 pengusaha nanas dan 90 peratus daripadanya merupakan B40.

"Purata pendapatan pula sebanyak RM5,000 sebulan khusus untuk mereka yang menanam nanas MD2," jelasnya selepas Majlis penyempurnaan Program Penyampaian Insentif PRE Prihatin Pengusaha Nanas Negeri Terengganu di Sungai Tong, Setiu.

PRE Prihatin Pengusaha Nanas merupakan satu peruntukan tambahan kepada LPNM melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan MAFI yang disalurkan pada pertengahan 2020, bertujuan merangsang ekonomi sektor industri nanas disebabkan pandemik COVID-19.

Sebanyak RM13 juta telah disalurkan kepada 5,000 orang yang terlibat dengan rantaian industri tanaman berkenaan terdiri daripada pekebun, pengangkut dan penjual, pengeksport, usahawan pemasar serta usahawan industri kecil dan sederhana.

Media Baharu