fb fb fb fb fb

Lebih ramai pelajar diharap sertai badan beruniform - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bergambar bersama ahli Pengakap pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Peringatan 100 Tahun Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Kedah sempena Majlis Aspirasi Guru Pengakap Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun

GURUN, 9 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan persiapan rapi memastikan sesi persekolahan tahun 2024/2025 bagi sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu esok, berjalan lancar.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara diminta turun ke sekolah-sekolah untuk menyantuni pelajar dan ibu bapa serta waris disamping memantau proses pengoperasian sekolah.
 
"Semua telahpun kita persiapkan, penerangan daripada segi libat urus bersama-sama JPN semua negeri dan juga PPD dan persiapan itu. Insya-Allah sudahpun digerakkan untuk semua negeri dan doakan saya juga anak saya masuk darjah satu.

"Jadi ini juga saat yang sangat penting saya bersama-sama ibu bapa yang lain akan mula sibuk sepanjang seminggu dan jangan lupa minggu pertama adalah minggu yang penuh dengan aktiviti," kata Fadhlina kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Guru Pengakap Negeri Kedah 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Gurun di Pekan Gurun.
 
Negeri-negeri lain selain dari empat negeri terlibat akan memulakan sesi persekolahan pada Isnin ini.
 
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadhlina mahu Pengakap dan juga badan-badan beruniform yang lain bergerak dengan lebih proaktif bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam aspek sahsiah, rohani dan jasmani.

Dalam pada itu Fadhina berharap lebih ramai pelajar menyertai badan beruniform seperti pengakap bagi melahirkan individu yang mempunyai nilai kemanusiaan dan disiplin tinggi.

Beliau berkata, para pelajar perlu terus digerakkan supaya sisi manusiawi dan disiplin mereka dalam menganggotai badan itu akan dapat mewujudkan pembangunan yang lebih holistik.

TETITIA YUSOFF